Jalan pulang itu dagang

Bismillah ArRahmaan ArRaheem,

Assalamu’alaykum warahmatullahi wabarakaatuh,

road

“What you see is what you get.

Who you are determines how you see.”

Dua irama ini telah lama saya sebatikan dalam diri, melunakkan hati dalam mendidik jiwa; sejak anjakan paradigma ini diperkenalkan ketika menuntut di KMB suatu ketika dulu. Selalu melihat dari sudut yang paling terang dan cerah di sebalik setiap yang terjadi. Pastinya bersuluh dengan nur Ilahi!

Realiti tidak seindah yang dilakarkan fantasi. Sejak kecil, saya dibesarkan dalam suasana ‘islamic’. Keluarga besar kami memiliki masjid di kampung. Cucu seorang imam. Nenek dikenali kerana sering dipanggil untuk memandikan mayat ketika terjadinya kematian. Banyak yang telah ditetapkan semenjak kecil. Ini tak boleh, itu tak boleh. Pernah saya mengutarakan kepada ayah untuk berpindah ke MRSM Pengkalan Chepa ketika saya masih di tingkatan 3. Saya masih ingat dialog yang terjadi sewaktu ayah menghantar saya pulang ke asrama penuh selepas cuti bermalam selama 2 hari di rumah.

“Ayah, ramai kawan2 akak nak pindah ke MRSM lepas PMR ni..” saya membuka mulut. Perlahan.

“Hmm… belajar di sekolah sains ni pun bagus juga. SBP pun elok. Lagipun dekat dengan rumah, senang ayah mama nak datang tengok. Tak semestinya MRSM tu bagus. Lepas SPM itu yang lebih penting.” Ayah seperti memujuk. Senyum memandang saya.

Saya diam. Berfikir.

“Kalau ayah tukarkan akak ke MRSM PC boleh? Dekat juga kan?” Saya memalingkan muka melihat reaksi ayah. Ayah tenang. Menumpukan pada pemanduan.

Saya tahu ayah diam dan turut berfikir alasannya untuk diberikan kepada saya. Bukan kerana dia tidak boleh menukarkan saya ke MRSM PC namun ada nilai yang harus difahami oleh saya sebagai anak yang harus dia ajarkan secara tidak langsung.

Khali.

“Ayah tahu MRSM PC terkenal dengan result SPM yang bagus. Tapi rezeki ada di mana-mana, kakak. Yang penting kakak berusaha bersungguh2 dan buat apa yang Allah suruh, tinggal apa yang Allah larang. Stay kat sekolah sains semua perempuan ni kakak dapat satu faedah yang jarang orang nampak.” Tenang ayah mengatur perbicaraan.

“Apa dia ayah?”

“Kakak terlepas dari satu dosa tiadanya pelajar lelaki kat sekolah. Kalau tidak, macam2 boleh jadi.” Ayah bersuara.

Saya tidak pasti itu satu pujukan untuk melembutkan hati saya atau alasan semata dari ayah agar saya melenyapkan impian ke MRSM PC, yang pasti saya sangat terasa dengan kata2nya. Tunduk. Air mata tidak tertahan mahu mengalir. Namun saya kuatkan semangat, jangan menangis depan ayah. Saya faham apa yang ingin ayah katakan. Saya sedar maknanya kata2 tadi.

Apabila naik ke tingkat asrama, saya menangis semahunya di katil. Hati saya cukup tersentuh dengan apa yang ayah sampaikan. Sentuhan itu menggegarkan daya fikir rasional saya. Ayah mahu saya berfikir bukan untuk jangka masa dua tahun ke depan, namun sampai kepada pahala dan dosa yang membawa ke destinasi akhir di akhirat. Itulah matlamat kita. Didikan ayah itulah yang selalu mengetuk pintu hati saya yang keras ketika mahu menginjak jiwa remaja.

Kedatangan ke Indonesia antara sedar atau tidak telah banyak membuka minda saya mengenali realiti sebenar di negara paling ramai ummat Islam ini. Pelbagai masalah sosial baik dari peringkat bawah mahupun atasan menyedarkan saya. Di situ, saya mula bertolak-ansur. Saya mudah mengikut arus, tetapi prinsip hidup tetap saya genggam kemas walau terkadang goyah. Namun, tidak semudah itu untuk sekadar melihat…

Awalnya, resah dan gundah di hati. Amalan yang dahulunya istiqamah, terhenti seketika. Sesetengah perkara yang saya ‘tolak keras’, saya rasa ‘terpaksa’ melakukannya kerana semua orang melakukannya, bagaikan saya seorang yang berkata ‘tidak’ di situ!

Lesu juga hati saya ketika itu. Tak keruan jadinya. Kadang-kala terasa lemah semangat. Mudah dihinggap sedih. Above all, Allah knows best. Ayah dan mama berbicara jangan berputus asa dan berpesan agar flow saya tidak berubah; meniupkan kembali semangat. Sahabat-sahabat seperjuangan menaikkan izzah Islam yang dijulang. Di mana bumi dipijak di situ Islam ditegakkan. Kemudian, saya teruskan perjalanan dengan doa padaNya sentiasa. Ya Allah, hiburkan dan gembirakanlah daku dengan redaMU~

Sering juga saya tersungkur di jalan ini. Namun, dikuatkan semangat dan hati. Ini adalah ujian dan cabaran, menguji keteguhan iman dan kesabaran dalam meyakini janji2 Allah swt. Dunia hanyalah sementara cuma, akhirat itulah yang abadi. Saya harus membajai dunia yang hanya di genggaman tangan dengan sebaiknya mengikut aturanNya. Tersemat kukuh di sanubari, saya ingin bangkit, tegak semula. Alhamdulillah, Allah Maha Penyayang. Sahabat2 jauh dan dekat memberi sokongan dan dorongan, kami bersama dalam saf dan ukhwah. Terasa kemanisan kebersamaan. Moga tetap thabat hati pada jalanNya. Biar perit yang dirasa, biar sukar untuk melangkah, kerana syurga itu menagih ujian!

Mendulang hikmah di lautan kehidupan ini. Bersama kesusahan, hadirnya kesenangan. Anjakan paradigma saya dipengaruhi keluarga tersayang, lambaian teman seperjuangan serta sahabat dikasihi di sini. Sahabat yang dekat dicintai, sahabat yang jauh dirindui… sungguh terasa kehangatan kasih mereka di sini, sungguh terasa ketidakhadiran mereka di sana. Namun alhamdulillah, bertindan-tindan nikmat yang Allah kurniakan dalam saya sedar atau tidak. Moga hati tidak berbelah bagi, keyakinan ini telah lama berpadu.

Apa yang pasti, tidak kisahlah apa yang orang kata. Ketika kita merancang bila untuk mengadakan tamrin dan iftar jama’i, orang lain bersungguh-sungguh dengan permainan terbaru di pasaran. Orang lain sibuk memilih tarikh untuk bercuti ke tempat menarik ketika kita berperah otak menimbang program mana yang mana lebih manfaatnya jika diikuti. Kita berusrah ketika orang bergembira dengan cara mereka tersendiri. Kita seronok, gembira malah bersungguh-sungguh juga tapi dengan cara yang lebih ‘fun’. Tuhan yang kita sembah pun lebih meredai…bukankah itu lebih bermakna dan menenangkan hati?

Wallahua’lam. Tepuklah dada, tanya iman di hati. Sesungguh hati itu memberikan fatwa kepada perbuatan kita.

Saya akhiri titipan ini dengan firman Allah di dalam surah Al-Kahfi ayat 28:

“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”


Ya Allah, Tuhan pemilik segala hati, kuatkan diriku… kerana sesungguhnya jalan pulang itu dagang…

Ana akhafullah wa ana uhibbukum fillah,

Srikandi Abu Bakar

3 thoughts on “Jalan pulang itu dagang

  1. Adikku sayang maisarah…
    akak sangat tersentuh kerana apa yg dirasakan adik tidak jauh samanya dengan akak wkt pertama di bumi kembara ini. You can do it….Allah knows the best. Luv U so much:)moga perjalanan kita sentiasa dalam redha ALLAH SWT.

    Wallahu`alam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s