Nak apa lagi?

“Kami memberi perkhidmatan terbaik, memberi minum kepada mereka yang datang menunaikan haji!” tegas kaum Mekah membantah seruan Nabawi.

“Kami juga pemakmur al-Masjid al-Haram. Segala kemudahan kami sediakan untuk tempat yang mulia ini,” tambah seorang lagi.

“Nak apa lagi?” angkuh sekali mereka mengakhiri konfrontasi.

Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menyeru manusia kepada Islam. Ada yang menerima ramai juga yang menolak. Ada yang menolak kerana membenci kebenaran, menolak tanpa beralas-alasan. Namun ada segelintir yang mereka-reka pelbagai alasan, mengapa tidak wajar seruan Muhammad itu dilayan.

Dalam banyak-banyak alasan itu, alasan pembangunan adalah alasan yang paling hebat. Bahawa mereka sudah membuat sebesar-besar kebajikan di sebesar-besar tempat, pada sebesar-besar musim, dan semuanya menjadi kebanggaan.

Tradisi menyediakan minuman untuk mereka yang datang ke al-Masjid al-Haram itu sudah zaman berzaman menjadi kebanggaan kaum Arab di Mekah. Ia suatu tugas yang dipandang tinggi. Malah mereka bukan setakat menyediakan minuman, rumah binaan Ibrahim itu juga mereka makmurkan dengan kemudahan-kemudahan yang diperlukan.

Alasan itu sungguh jelek.

Mereka cuba menjadikan kebajikan itu setinggi-tinggi kebaikan, tanpa menyembah Tuhan?

Allah Subhanahu wa Ta’aala menempelak musyrikin Mekah ini dengan firman-Nya:

9_19-20

“Apakah kamu mahu menjadikan perbuatan memberi minum kepada para Hujjaj dan membangunkan al-Masjid al-Haram itu sama seperti nilai orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta berjihad fi sabilillah? Tidaklah sekali-kali mereka itu sama di sisi Allah. Dan Allah tidak sekali-kali memberi petunjuk bagi manusia yang berlaku zalim…

Orang-orang yang beriman kepada Allah, dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan nyawa mereka, itulah sehebat-hebat darjat di sisi Allah. Dan mereka itulah golongan yang sebenar-benarnya berjaya” [al-Taubah 9: 19-20]

Ya, kebajikan itu kebajikan. Ia mungkin mencurah lautan manfaat buat manusia. Namun tanpa menghubungkan segalanya dengan sebuah kehambaan manusia kepada Pencipta, bisakah semua itu meraih Syurga?

TETAMU BIADAB

“Assalamualaikum Kak Ros. Cantiknya rumah Kak Ros. Kerusi cantik, bunga cantik, almari cantik. Pandai Kak Ros menghias!” ujar Encik Ali dari rumah sebelah.

Tersipu-sipu Kak Ros menerima pujian.

201120089231

Cantiknya lampu Kak Ros

“Ini saya ada bawakan nasi tomato dengan dalca ayam yang Kak Ros suka. Saya buat kurang pedas supaya anak-anak pun boleh makan sama,” Encik Ali menghulurkan mangkuk tingkat kepada Kak Ros.

“Oh, terima kasih. Baiknya hati Encik Ali. Perkenalkan, ini suami saya, Abang Abu!” kata Kak Ros sambil menunding ke arah Abang Abu yang merah-merah muka di sebelah.

“Oh Encik Abu. Apa khabar? Kak Ros kalau saya masakkan dalca kambing, Kak Ros makan tak?” Encik Ali menoleh sesaat kepada Encik Abu kemudian terus beramah mulut semula dengan Kak Ros.

“Err, makan. Tak payahlah susah-susah Encik Ali. Kak Ros ok sahaja,” balas Kak Ros.

“Eh, jangan begitu. Kita ini bukankah berjiran. Kalau anak Kak Ros ada masalah nak ke sekolah, saya boleh hantarkan!” Encik Ali putih dan ikhlas hatinya menawarkan kebajikan.

Encik Abu sudah mengepal penumbuk. Geram benar rasa di hati. Tetamu yang seorang ini begitu baik dengan isteri dan anak-anaknya, tetapi langsung tiada hormat dan peduli kepada TUAN RUMAH. Dalam segala kebajikan dan kebaikan, tetamu yang banyak jasa inilah tetamu yang BIADAB kepada tuan rumah. Tiada penghormatan, tiada pengiktirafan, apatah lagi selepas diperkenalkan secara berdepan.

IBRAH PERBANDINGAN

Kisah di atas kisah rekaan. Tetapi saya lakarkan ia untuk sebuah perbandingan. Tatkala manusia bersungguh-sungguh berbuat baik kepada manusia, tidakkah ada di benak fikirannya tentang Dia Pencipta manusia?

Sekurang-kurangnya seorang tetamu ada rasa hormat kepada tuan rumah. Sebelum menghulurkan kebajikan kepada ahli rumah, dihormatnya si tuan rumah. Malah tetamu yang terbaik adalah tetamu yang menjaga hubungannya dengan tuan rumah, bermesra dengannya, pandai mengambil hatinya, sambil turut sama membawa buah tangan untuk memanjangkan kebaikan kepada seisi ahli rumahnya. Itu warasnya fikiran seorang tetamu.

Justeru wahai sekalian ahli kebajikan, ahli politik, ahli dermawan dan ahli hartawan. Kebajikan kamu melimpah ruah, tetapi soalan “nak apa lagi?” yang kamu tempelak terhadap seruan dan dakwah kami, mengundang persoalan kami untuk kamu pula:

KAMU BERJASA KEPADA MANUSIA, KAMU BERDOSA KEPADA TUHAN MANUSIA… sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim membelakangkan Dia!

ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com
68000 Ampang

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s