Bingkisan Syukur

BINGKISAN SYUKUR

( Dewan Masyarakat Oktober 2003 )

Saya lelaki; rijal sejati. Dulu, pantang sekali sang rijal ini menumpahkan titisan jernih dari kolam mata. Ibu pun selalu berpesan begitu. Lelaki mesti kuat, lelaki perlu membara semangatnya. Tapi hari ini saya bangkang pesan ibu. Saya pergadaikan prinsip diri. Namun tidak sekali-kali saya kesali tumpahan air mata yang menitik hari ini. Saya langsung tidak menyalahkan diri melakukan perbuatan yang dianggap memalukan kaum rijal ini. Air mata hari inilah yang telah membasahi bustan jiwa yang kian gersang dan kontang daripada pepohon zikir dan pujian pada-Nya.

Ketika enak menikmati sarapan di ruang makan bersama sahabat-sahabat serumah, saya menerima sepucuk surat. Tertanya-tanya pengirimnya, tangan bertindak balas menyiat bucu sampul tanda menyetujui impuls yang dihantar otak. Amjad!!

Amjad rafiq terakrab saya. Dia saya anggap seperti saudara sendiri. Sentiasa saya lonjakkan harapan ke ribaan Yang Esa agar persahabatan yang terjalin, semurni untaian ukhuwah Rasulullah S.A.W dan Saidina Abu Bakar, sebening ikatan Muhajirin dan Ansar. Namun entah mengapa harapan saya itu dipuput bayu, hilang bersama senja nan merah. Rafiq itu tiba-tiba menghilang. Tiada khabar berita.

Wad 9U ( Orthopedik )

Pusat Perubatan Universiti Malaya

Petaling Jaya

29 Jun 2002.

Assalamualaikum. Salam sesuci nur sobah kuhulurkan buat dirimu yang senantiasa dalam ingatan. Maafkanku kerana menghilang tanpa khabar bicara. Diam bukan bererti lupa. Namamu pasti singgah dalam kalam doaku. Apa khabar dirimu? Harapanku agar kau sentiasa sihat dan berada di bawah lembayung Maghfirah dan kasih Ilahi.

Bacaan saya ternoktah di situ. Bola mata singgah kembali ke alamat yang tertulis di penjuru surat. Entah mengapa tiba-tiba debar membungkus diri. Jantung berdegup kencang. Sakitkah dia? Atau…sudah bergelar Doktor Amjad? Terus saya meluncuri bait warkahnya?

Wafie,

Firman Allah dalam Surah Hud ayat 11 yang bermaksud : Kecuali orang-orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh, maka mereka akan memperoleh keampunan dan pahala yang besar.

Sedaya mungkin aku cuba mentadabbur kalam suci Ilahi. Moga diri ini terus gagah menghadapi ujian-Nya. Terua menyala api semngat dan tabah dalam kandil jiwa. Aku tidak akan menyerah kalah. Aku akan pastikan yang aku juga pejuang hebat di medan juang ini. Sehebat Sallahuddin Al-Ayubi membebaskan Masjidil Aqsa dari cengkaman Yahudi laknatullah, seberani Khalid Al-Walid kala Fathu Makkah.

Aku kini terlantar di hospital. Kaki ini sudah tidak mampu melangkah lagi, apatah berlari. Zaman kegemilangan ketika menyertai pasukan bola sepak di kampus dulu sudahpun terkubur. Harapan untuk terpilih berada di bahagian penyerang pasukan Bola Sepak Remaja Negeri Sembilan punah serta-merta. Duit yang kusimpan untuk membeli kasut bola Adidas yang kuidam-idamkan terpaksa aku gunakan untuk membiayai belanja perubatan. Segala-galanya hanya tinggal impian. Sesekali aku mencongak-congak penghidupanku di masa depan. Maka tatkala itu, sedih dan sayu menerobos atma. Tapi aku tidak salahkan takdir. Mungkin ini kifarah dosa silamku.

Terasa darah berlari deras di segenap kapilari. Saya langsung tidak mengetahui sahabat saya ini terlantar di hospital lantaran kepupusan khabar darinya. Pantas naluri mencaci diri sendiri kerana meragut hak seorang sahabat. Sahabat yang mulia adalah sahabat yang akan berada di sisi sahabat yang lain samada ketika senang atau susah. Hati saya meronta resah ingin tahu kisah lanjut.

Wafie,

Seawal September tahun lalu, kaki kiriku mula sakit-sakit. Terasa kebas menyucuk hingga ke sum-sum. Kusangkakan akibat aku terlalu ghairah berlatih untuk persiapan perlawanan bola sepak yang bakal tiba. Kau tentu tahukan! Aku pasti kecewa jika aku gagal tanpa persiapan rapi. Hatiku akan puas jika sebelum itu aku telahpun berusaha bersungguh-sungguh walaupun gagal juga selepas itu. Konsep tawakkal yang pernah dimunaqashah ketika usrah bersama Ustaz Yazid dahulu. Tentu semuanya masih segar diingatanmu.

Sakit dan kebas-kebas pada kaki kiriku makin hari makin bertambah. Aku hanya membiarkan sahaja. Tapi ada kalanya, Huzaifah teman sebilikku menghulurkan khidmat tukang urut padaku. Katanya dia belajar mengurut daripada datuknya yang berasal dari Sumatera. Aku hanya tersenyum melihat gelagatnya menjadi bomoh tanpa tauliah.

3 minggu aku menahan sakit. Huzaifah sudah ragu-ragu dengan kesakitan yang mula menghantui tiap lenaku. Ketika insan enak dibuai mimpi, aku bangun menyapu minyak angin di kaki. Sedikit-sebanyak mampu menghalau pergi sakit yang menyerang. Huzaifah mula berleter lantaran aku sudah tidak boleh duduk antara dua sujud lagi ketika solat dan terpaksa menunaikan Rukun Islam kedua ini di atas kerusi. Dia menyuruhku pergi ke klinik universiti. Tapi aku mengendahkan sahaja. Suatu malam, selesai solat Maghrib dan berzikir pendek, Huzaifah mengulang suruhannya. Seperti komando lagaknya, dia memaksaku mengikutnya ke klinik pada malam itu juga. Entah mengapa, aku akur.

Wafie,

Setelah ke klinik dan menjalani X-Ray, doktor mengatakan ada bengkak di kaki kiriku. Doktor Syafiq menyuruhku ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Memang aku berat hati untuk ke hospital. Kuberanggapan mengikuti prosuder di hospital amat meremehkan. Tapi Huzaifah terus-terusan mendesakku ke sana. Setelah menjalani Magnetic Reasonan Imaging (MRI) dan CT-Scan, aku diberitahu ada ‘tumour’ atau ketumbuhan di lutut kiriku. Doktor mengatakan mereka akan menjalankan ‘biopsi’ di lutut tersebut untuk mengesahkan jenis ‘tumour’.

28 September 2001, seperti yang dirancang, biopsi dijalankan. Biopsi ialah suatu kaedah untuk mengambil tisu di tempat yang disahkan wujudnya ‘tumour’. Aku dicucuk ubat kebas dan lutuku ditebuk. Doktor memasukkan satu jarum khas untuk mengeluarkan tisu tersebut. Sakitnya hanya Allah sahaja yang tahu. Hampir 2 jam aku berperang menahan sakit. Ketika itu fikiranku ditancapkan kepada Al-Khaliq. Aku yakinkan diri dengan firman Allah :

“Iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka akan berkata : Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” ( Al-Baqarah:156 )

Setelah selesai semua urusan, aku diberi cuti selama 20 hari. Aku pulang ke rumah bersama abah. Huzaifah menggenggam erat tanganku. Dia mahu aku berjanji yang aku akan pulang ke UIA nanti. Ada manik-manik putih yang membasahi pipinya. Aku tidak mampu mengatur bicara.

19 Oktober 2001, aku ke Klinik Ortopedik PPUM bersama keluarga. Di sana aku berjumpa dengan Profesor Sen Gupta, pakar tulang. Maka sekali lagi air mata jantanku ini menitik laju. Aku didiagnosiskan Osteosarcoma ( kanser tulang ). Sedih berkisar di ruang hati. Kupandang wajah emak dan abah. Ada sejalur resah pada kedua-duanya. Maafkan Amjad, emak. Maafkan Amjad, abah. Takdir ini pasti mengheret kedua-duanya merasai keperitan hidup yang bakal tiba. Entahlah! Serasa mahu menanggung derita ini seorang diri. Tapi mana mungkin. Emak dan abah ingin menunaikan amanah Allah pada mereka.

Bagai mimpi, saya tidak percaya rafiq saya ini menderita seorang diri. Di mana tulus seorang sahabat yang sepatutnya saya hamparkan? Di mana setia janji seorang rafiq yang sepatutnya saya kukuhkan ikatannya? Ah, apakah saya hanya mapu menjadi sahabat ketawa sahaja. Bayangan Amjad menjelma di depan mata. Saya perlu menziarahinya! Dan perlahan-lahan saya seka memanik putih yang kian laju bertali.

Wafie,

Selalunya apabila mendapat nikmat, orang akan bergembira dan bangga. Sedikit sahaja yang ingin bersyukur atas nikmat kurniaan Ilahi itu dan lebih sedikit yang menyedari rahsia di sebalik nikmat tersebut. Tapi apabila nikmat yang dikecapi suatu masa dahulu ditarik balik oleh-Nya, maka barulah terasa suatu kehilangan. Benarlah kalamullah dalam lembaran Furqan-Nya :

“Dan Dia telah memberi kepada kamu dari segala apa yang pohonkan kepada-Nya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya tidaklah dapat menghitungnya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari nikmat Allah.” ( Surah Ibrahim : 34 )

Wafie,

Setelah aku disahkan menghidap kanser tulang, aku dikehendaki menjalani rawatan kemoterapi di PPUM. 2 minggu sekali, aku berulang-alik bersama abah dari rumah ke hospital. Besarnya pengorbanan abah dan emak kepadaku. Dulu, akulah anak yang amat jarang tahu menilai erti kasih ibu dan ayah. Egoku yang membusut dulu kian menyurut. Resah mula melingkar perasaan. Apakah mampu aku membalas jasa yang menggunung tinggi ini? Apakah mampu aku menurut nasihat Luqman Al-Hakim yang diabadikan dalam Surah Luqman supaya berbuat baik kepada ibu bapa? Aku tidak mahu menjadi Tanggang Moden, Wafie. Aku tidak betah menjadi Alqamah!

Nasib insan di muka bumi ini ibarat roda. Ada kalanya kita di atas dan ada tikanya kita di bawah. Dalam sebahagian daripada Surah Al-Insyirah, Allah berfirman yang bermaksud : “Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, maka apabila kamu selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain dan hanya kepada tuhanlah hendaklah kamu berharap.” Debar jantung saya kian laju. Naluri menjerit tempik mahu tahu kisah lanjut. Bacaan warkah dia, saya teruskan.

Wafie,

Kau tentu masih ingat pada Rabiatul Adawiyah. Gadis yang selalu bertikam lidah denganku ketika kita sama-sama menyertai pasukan debat sekolah dahulu. Ada-ada sahaja pendapatku yang mahu dibangkangnya. Aku juga tidak mahu mengalah. Masakan tidak! Arrijal qawwamun ‘ala nisa’. Tapi dalam diam-diam, egoku layu jua dek panahan kasih seorang insan bernama wanita. Pertama kali memang payah untuk aku menawan hatinya. Dia gadis mulia, Wafie! Tidak keterlaluan jika kukatakan hatinya setulus Siti Fatimah, pengorbanannya semurni Siti Khadijah.

Alhamdulillah, aku mendapat pulangan yang cukup indah daripada persahabatan itu. Rabiatul Adawiyah kusunting dari bustan ayah bondanya. Kini telah 2 tahun aku dan dia ditunangkan. Aku berkira-kira ingin mendirikan mahligai bahagia bersamanya tahun ini. Namun apakan daya, takdir mengatasi impian kami. Aku pasrah. Dia juga begitu. Katanya dia percaya, niat yang baik, ikhlas dan murni ini pasti akan direstui Ilahi. Dia sanggup menunggu, menyusur musim gersang, meredah ranjau berbisa ini bersamaku. Aku amat berterima kasih padanya, Wafie!

Wafie,

Menjalani kemoterapi adalah suatu pengalaman yang memeritkan. Bak madu sepahit hempedu. Memanglah tidak dinafikan, kemoterapi adalah suatu rawatan untuk mengekang sel kanser daripada terus merebak. Tapi, terdapat jua kesan-kesan sampingannya. Kau tahu! Rambut ala tentera yang kubangga-banggakan sewaktu kita bersama dahulu, kini hanya mampu kutatap melalui foto-foto kenangan. Halai demi helai rambutku gugur. Kedua-dua lenganku berbekas hitam akibat terlalu kerap menerima suntikan. Imunisasi badan jua semakin lemah. Jasadku seolah-olah lali dengan jarum doktor. Namun batinku ini meronta-ronta mahu dilepaskan dari beban siksa yang menggalas diri. Ya Allah! Kuatkan semangatku. Tabahkan hati hamba-Mu yang dhoif ini. Moga benteng kesabaran ini terus utuh.

Aku tahu, bukan aku seorang sahaja yang merasai peritnya ujian Allah buat hamba-Nya ini. Abah dan emak jua turut berkongsi rasa denganku lebih-lebih lagi dari soal kewangan. Perbelanjaan hospital bukannya sedikit! Kalau sang kaya melabur wang bermain saham, melancong ke Eropah, membeli-belah di kota Bangkok tapi abah dan emak melabur wang untuk perbelanjaan perubatanku, menghabiskan masa menjagaku di hospital. Kami bukan orang senang. Abah dan emak membanting tulang empat kerat, menitiskan keringat ke lumpur sawah semata-mata untuk membesar dan mendidik kami lima beradik. Namun, Alhamdulillah, pihak UIA senantiasa menghulurkan bantuan begitu jua dengan teman-teman seperjuangan. Sedikit-sebanyak dapat meringankan beban yang menghimpit. Hanya Allah sahaja yang layak memberikan jaizah buat mereka yang sudi menghulurkan bantuan.

Wafie,

Pengalaman berada di hospital adalah sesuatu yang sukar dikikis dari kotak memori. Sesukar melupakan kemesraan yang berputik antara kau dan aku. Kerinduan terhadap bingkisan ilmu dan teman-teman seperjuangan mula mengepung diri tatkala sepi bertandang. Tapi aku pasrahkan diri dan cuba berbisik pada sang nurani bahawa ini adalah salah satu bentuk tarbiah. Tarbiah Azzawajalla supaya aku bermuhasabah tentang erti sebuah kesyukuran. Apabila aku pandang di sekelilingku, masih ada lagi insan-insan yang lebih kekurangan. Tidak ada manusia di dunia ini yang ditarik sekaligus nikmat-nikmat oleh Allah. Kalau seseorang ditimpa kesusahan bukan bererti sudah tidak ada lagi nikmat Allah padanya. Kalau kakiku sudah tidak mampu bergerak, bukan bererti nafasku sudah terhenti, bukan bererti mataku sudah tidak mampu melihat, telingaku sudah tidak mampu mendengar dan mulutku sudah tidak mampu meluah bicara. Selautan syukur kurafa’kan pada-Nya kerana masih banyak lagi nikmat-Nya yang diberi percuma untukku. Kalamullah dalam Al-Quran :

“Barangsiapa bersyukur atas nikmat kurniaan-Ku nescaya akan Aku tambahkan nikmat-Ku. Dan barangsiapa kufur maka ingatlah bahawa azab-Ku amat pedih.” (Surah Ibrahim:7)

Hujan menitik renyai membasahi bustan jiwa. Saya tahu dia seorang yang tabah, berjiwa kental. Musibah yang melanda dirinya pasti memberi peluang untuk mendidik hati menjadi insan yang tawadhuk, sabar dan redha. Hassan Al-Basri pernah berkata : “Kebajikan yang tidak ada padanya kejahatan ialah keafiatan serta syukur. Maka banyaklah orang yang memperoleh nikmat yang tidak bersyukur.” Getar hati kian berganda. Terus-terusan mata saya melirik bait kalam selanjutnya.

Wafie,

Di hospital, ramai yang senasib dengaku. Masih muda remaja, masih baru belajar mengenal erti hidup yang bak fatamorgana di jalanan ini. Aku kenal rapat dengan seorang sahabat yang kukira cukup istimewa. Dialah yang banyak mengajarku menghargai apa yang ada pada diri. Meyakinkan diri untuk mula melangkah kembali bahkan berlari di padang realiti. Kami sering berkongsi rasa, meluah gejolak yang berkocak di kolam hati. Kau tahu! Dia juga minat berzanji. Itulah yang menyebabkan sillaturrahim kami makin tersimpul erat. Satu rasa, satu matlamat. Optimis kami untuk menang di medan juang ini. Itu janji yang kami paterikan bersama. Tapi sayang, sahabatku ini terpaksa akur pada janji Pencipta. Kita merancang, Allah jua yang menentukan. Ajal pasti menjemput kita sekalipun kita lari bersembunyi di penghujung buana. Aku jua akur pada sunnatullah yang ditetapkan. Tapi aku selalu bermunajat pada-Nya, berlama-lamaan di hamparan sejadah, agar aku sempat untuk bertaubat atas segala dosa yang menyelimuti diri. Walau berat untuk aku menerima hakikat ini, namun aku perlu sedar yang Allah lebih menyayanginya. Nun di Sana dia abadi bersama kenangan yang kami cipta bersama. Di ufuk timur, terbayang jelas wajah dan kalam nasihatnya. Alfatihah buat Allahyarhan Ahmad Fadhil. Moga dia ditempatkan bersama Al-Solihin. Amin….

28 Februari 2002, tarikh keramat dalam lipatan sejarah hidupku. Aku disorong ke bilik pembedahan pada jam 11 pagi. Aku tidak gentar kerana kutahu doa dan semangat abah, emak, keluarga, sahabat-sahabat dan Rabiatul Adawiyah mengiringiku. Nafas kutarik dalam-dalam. Aku yakin Allah bersamaku. Debar berkisar di ruang bilik yang kukira terlalu asing. Dengan Asma’ Allah dan tiga kali selawat yang bergetar di bibir, aku mula terputus hubungan dengan seluruh isi dunia. Kelam. 7 jam selepas itu, aku mula membuka membuka mata. Kulihat semuanya berada di sisiku. Kucuba menguntum senyum. Tanda aku puas segala-galanya sudah berjaya aku lalui. Benarlah sabda Rasulullah SAW “Apabila Allah menyenangi hamba maka diuji agar Allah mendengar permohonannya (kerendahan dirinya).”

Kini aku redha dengan apa yang aku miliki. Lutuku telah diganti dengan ‘implant’ besi yang hanya boleh dibengkokkan sebanyak 90 darjah sahaja. Gemawan hitam mula berinjak pergi. Derita kian penghujung. Tapi saat itu, resah melingkar perasaan. Tidak mungkin aku sekuat dulu. Aku tidak mahu beban yang tertanggung dirasai oleh insan yang amat kusayangi. Rabiatul Adawiyah…Wajahnya menerpa ke dimensi ingatan. Kuluahkan padannya segala waham yang membelit perasaan. Aku meminta dia menolak pergi impian kami jauh ke dada langit. Biar ia hilang bersama senja nan merah kerana aku sedar dan insaf akan kekurangan dan kedhoifan diri. Tapi semua yang mengepung minda terpagut dek bicaranya. Kelembutan tuturnya memancing diri. Rabiatul Adawiyah redha dengan segala-galanya. Katanya dia akan menerimaku dalam keadaan mana sekalipun. Hamparan sabda Rasul yang dibacakan olehnya padaku benar-benar meruntun kalbu. “Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam cinta kasih dan belas kasih seprti suatu tubuh. Apabila kepala mengeluh (pening dan sakit) maka seluruh badan tidak boleh tidur dan demam.” Ah, wanita itu! Sabarnya tiada bertepi. Pengorbanannya saujana samudera yang membiru. Doaku moga dialah jua Ainul Mardhiah yng ditakdirkan untukku di Firdausi kelak. Amin…

Saya lempar pandangan ini jauh-jauh. Di luar sana gumpalan kecil ais putih turun bertali dari atas. Ingin rasanya terbang pulang ke bumi Malaysia nan tercinta. Menjenguk diri seorang sahabat yang amat dirindui. Tapi apakan daya, saya tidak punya untuk terbang seperti beburung. Bumi Ireland saksi hati saya yang melonjak-lonjak ingin menemuinya walau sepicing waktu. Saya susuri seterusnya warkah bertulisan tangan itu.

Wafie,

Di luar sana assham mula memancar terang. Hanya sesaat waktu tadi, awanan menyembunyikan sinarnya. Cerah menginjak pergi suram. Mungkin takdir hidupku jua begitu. Itulah yang kudambakan. Walaupun telah selesai berhadapan dengan pembedahan, namun aku masih menjalani kemoterapi. Ini untuk memsatikan diriku benar-benar pulih. Aku bersabar dan akan terus bersabar menantikan detik hari yang indah itu. Kaki ini ingin melangkah semula. Berjalan menyusur denai-denai, memetik dedaun ilmu yang telah lama layu dari pepohon jiwa. Tapi dalam waktu yang sama, aku jua gentar untuk menghadapi hari esok. Adakah Dia masih memberikan kesempatan buatku untuk melihat indah sang pelangi tujuh warna? Adakah masih ada peluang lagi untukku mendengar kicau burung pipit meniti jerami padi sebagai halwa telinga? Hanya Al-Khaliq sahaja yang mengetahui rahsia ini. Doakan aku wahai sahabat! Moga di penghujung sisa-sisa usia ini, masih ada waktu untukku mempersembahkan pada-Nya bingkisan syukur yang masih kusimpan…

Sahabatmu,

Muhammad Amjad.

Empangan mata pecah. Berderai air jernih membasahi pipi. Saya berdoa moga diberi kesempatan oleh-Nya buat dia. Saya benar-benar terpaku. Di saat saya enak menyusur musim, meredah cita-cita, sahabat saya berperang dengan kesakitan yang menerjah. Tapi tiada yang perlu disangsi. Sememangnya hidup memungkinkan segalanya. Kini saya mula kenal erti syukur yang sebenar. Perlu saya merebut lima perkara sebelum datangnya lima perkara yang lain; sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, lapang sebelum sibuk, kaya sebelum miskin dan hidup sebelum mati…

Nukilan :

Ghafirah bt. Idris

UIA, Pj

Biar apapun maksudnya pemberian cerpen ini, Sarah amat hargainya😉 Jazakillahu khayran katheera ya ukhti..wa ana uhibbuki fillah aidhon🙂. Video klip kegemaran enti sudah boleh didapati di Akhawat IB, sila menikmatinya😉 Moga Allah selalu melimpahkan kasih sayangNya buat enti sekeluarga, kirim salam sama parents enti, panjang umur kita ketemu lagi ya…~!

3 thoughts on “Bingkisan Syukur

  1. Salam. terima kasih sebab datang ke blog saya. Jazakillah hu khairan katheera. syahdunya saya. dah lama saya tak baca cerpen ini. kali pertama dan terakhir saya membaca cerpen ini ketika di tingkatan empat. 2003. saya suka susunan katanya. apa-apa pun, terima kasih kerana menyiarkannya.saya suka.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s